Thursday, August 13, 2009

SPRM diminta menjalankan siasatan kes RM 10 Juta dengan segera



DAP Kedah telah membuat laporan di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Cawangan Alor Setar, pada pukul 12.30 tengahari, mengenai dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing, yang juga Ahli Parlimen Bintulu, terhadap Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat bahawa Tiong sendiri telah “menderma” RM 10 juta kepada Presiden MCA, Ong Tee Keat dalam tahun 2008, atas permintaan beliau dengan tujuan untuk memperuntukan wang tersebut kepada Bahagian-bahagian MCA sebagai wang aktiviti.

Datuk Seri Tiong juga menjelaskan bahawa wang sebanyak RM 10 juta tersebut dibayar secara tunai dalam tiga peringkat sewaktu pertemuan dengan presiden MCA itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

DAP ingin meminta pihak SPRM supaya menjalankan siasatan tersebut dengan serta-merta sepertimana yang telah dijalankan terhadap ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, khasnya di Negeri Selangor.

DAP meminta pihak SPRM menjalankan penyiasatan terhadap dakwaan tersebut dari aspek-aspek seperti:-
(i)Oleh sebab dakwaan itu dibuat dari “Penderma wang” sendiri, iaitu YB Tiong King Sing, dan beliau juga memberitahu kepada media bahawa tujuan yang diberi oleh YB Ong Tee Keat semasa berunding dengan beliau adalah “Untuk menggunakan / memperuntukan wang tersebut di bahagian-bahagian MCA seluruh Negara”
(a)Atas sebab ini, DAP ingin bertanya, adakah wang tersebut diperuntukan kepada semua bahagian MCA?
(b)Kalau tidak, manakah wang sebanyak RM 10 juta yang “diderma dengan tujuan aktiviti bahagian-bahagian MCA” itu pergi?

(ii)Scandal penyalahgunaan wang Port Klang Free Zone (PKFZ) yang baru-baru ini melibatkan syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dipunyai oleh Datuk Seri Tiong. Pihak Port Klang Authority (PKA) telah membuat laporan polis kerana disyaki berlakunya penipuan, kecuaian, salah laku dan penyelewengan sehingga RM 1 billion oleh KDSB dan kemungkinan besar berlakunya penyelewengan dalam kes PKFZ yang akan dibongkar akan datang.
(a)Adakah “dermaan wang” oleh Datuk Seri Tiong kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat itu terbabit dalam kes rasuah, sebagai wang “tutup mulut” mengenai scandal PKFZ untuk Ong supaya beliau yang juga merangkap Menteri Pengangkutan dapat mengenepikan scandal tersebut daripada terdedah?
(b)Sebelum Datuk Seri Ong jadi Menteri Pengangkutan, adakah Menteri Pengangkutan yang terdahulu juga dapat “dermaan” lain dari Datuk Seri Tiong King Sing? Berapakah jumlahnya?

(iii)Sungguhpun Datuk Seri Ong Tee Keat telah menafikan pada 12 Ogos, 2009 bahawa beliau pernah menerima wang “derma” tersebut dari Datuk Seri Tiong, tetapi sepertimana yang dikatakan oleh Datuk Seri Tiong, beliau mempunyai saksi dan boleh membuktikan pada bila-bila masa.
(a)DAP meminta pihak SPRM supaya mendapatkan maklumat-maklumat dan bukti-bukti daripada Datuk Seri Tiong, kerana kes ini dilihati terbabit dalam kes penipuan sekiranya wang tersebut diminta atas tujuan “untuk aktiviti bahagian-bahagian MCA” tetapi disalahgunakan oleh seseorang peribadi.

DAP merayu kepada ketua-ketua bahagian MCA seluruh Negara, supaya memberi akuan atau penjelasan kepada orang ramai bahawa, adakah sebanyak RM 10 juta tersebut telah diperuntukan dan diterima daripada Datuk Seri Ong Tee Keat?Sekiranya wang tersebut belum didapat oleh bahagian-bahagian MCA, DAP bersedia untuk memberi bantuan kepada bahagian-bahagian MCA supaya dapat “mengejar-balik” wang tersebut dari tangan Datuk Seri Ong Tee Keat.